Thursday 28 April 2011

ANUGERAH GEMILANG MELAHIRKAN PELAJAR BERMUTU

27 April 2011 - Majlis Anugerah Gemilang telah berlangsung dengan jayanya dan penuh gilang-gemilang. Majlis ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Asmee bin Tajudin, ketua sektor akademik Jabatan Pelajaran Kedah Darul Aman. Pada majlis tersebut Tuan Haji Asmee telah merakamkan ucapan sekalung penghargaan kepada pihak sekolah kerana telah berjaya dalam aspek kemendalian murid. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada guru-guru dan pelajar yang telah berjaya menerima anugerah pada hari tersebut. Peranavaruvini a/p Kunasekaran telah dinobatkan sebagai Tokoh Gemilang atas kejayaanya dalam bidang akademik dan ko-akademik manakala anugerah Permata Budi pula Tuan Haji Che Mat bin Man.

Saturday 23 April 2011

KEJOHANAN CATUR MENJULANG NAMA SMKJ

Kejohanan Catur MSSD Kubang Pasu telah berlangsung pada 21 April yang lalu bertempat di SMK Megat Dewa. SMK Jitra sekali lagi menempa nama apabila wakil sekolah iaitu Khairul Fikri b Mohd Rodzi telah menjadi johan bagi kategori 18 tahun lelaki. Namun begitu, seorang lagi wakil SMK Jitra iaitu Ameer Azizi b Jusoh hanya memperoleh tempat ketiga dalam kejohanan tersebut. Bagi kategori 18 tahun perempuan, Izyan Syahirah bt Redzuan telah memperoleh tempat ketiga manakala Yarsheny a/p Sugumara memperoleh tempat kelima. Untuk kategori 15 tahun lelaki dan perempuan masing-masing memperoleh tempat kelima. Tahniah kepada para pemenang yang telah mengharumkan nama sekolah terutamanya Khairul Fikri b Mohd Rodzi yang telah terpilih untuk mewakili daerah Kubang Pasu ke pertandingan peringkat negeri yang akan berlangsung di Langkawi pada 28 hingga 30 April 2011.

Friday 22 April 2011

PASUKAN SOFBOL MENGORAK LANGKAH MENCIPTA NAMA

Pada 19 hingga 21 April, pasukan sofbol SMK Jitra telah menyertai Kejohanan Sofbol MSSD Kubang Pasu di SMK Changlun. Pasukan sofbol SMK Jitra telah dibawa ke SMK Changlun bersama dua orang guru pengiring iaitu Cik Aida Shafina dan Encik Sharizan. Pasukan sofbol lelaki telah menyandang tempat ketiga dalam kejohanan tersebut manakala pasukan sofbol perempuan pula telah menjadi Naib Johan bagi Kejohanan Sofbol MSSD Kubang Pasu. Tahniah diucapkan kepada para pemenang.

Monday 18 April 2011

SMKJ DISERANG LAGI!!

Tanggal 16 April 2011 yang lalu, sekolah kita telah menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Bola Tampar MSSM peringkat negeri Kedah 2011. Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Abdul Rahim b. Ahmad iaitu Pegawai Pelajaran Daerah Kubang Pasu. Dalam kejohanan ini, johan bagi   kategori 12 tahun perempuan dan johan bagi kategori 12 tahun lelaki telah disandang oleh pasukan yang sama iaitu pasukan Kota Setar. Bagi kategori 18 tahun perempuan pula, johan telah dimenangi oleh pasukan Kuala Muda-Yan. Manakala, johan bagi kategori 18 tahun lelaki telah menjadi milik  pasukan Bandar Baharu/Kulim. Tahniah kepada semua pasukan yang berjaya.

Thursday 14 April 2011

AADK BERJAYA MENYUNTIK KESAN POSITIF

13 April 2011 - SMK Jitra telah mengundang penceramah iaitu dari Agensi Anti-Dadah Kebangsaan untuk memberi ceramah tentang dadah yang kian menular dan membarah dalam masyarakat kini. Sepanjang ceramah yang berlangsung di Dewan Ibnu Sina, penceramah telah menjelaskan bahaya dadah dan kesan daripada penggunaan dadah secara berlebihan dalam kehidupan manusia. AADK juga telah menjalankan ujian air kencing (urine test) bagi para pelajar lelaki. Hasil ujian air kencing   telah memberi impak yang baik kerana disahkan semua pelajar terhindar daripada mengambil dadah yang berbahaya.

Sunday 10 April 2011

BAIDURI PENUH BERBISA

9 April 2011 - SMK Jitra telah mengadakan kejohanan merentas alam bagi tahun 2011. Semua guru dan pelajar dikehendaki berkumpul di padang sekolah dan diberi taklimat. Sebelum itu, acara senam robik telah diadakan untuk     memanaskan badan. Acara merentas alam ini terbahagi kepada 4 kategori iaitu 15L,15P,18L dan 18P. Johan keseluruhan bagi merentas alam telah disandang oleh rumah sukan Baiduri manakala naib johan disandang oleh rumah sukan Nilam dan tempat ketiga dimenangi oleh rumah Zamrud. Kejohanan Merentas Alam diakhiri oleh upacara penyampaian hadiah dan perasmian penutup di  Dewan Ibnu Sina. Terima kasih kepada pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam Kejohanan Merentas Alam pada tahun ini.

Tuesday 5 April 2011

BAHAS ALA PARLIMEN MENCAPAI KEGEMILANGAN

3 - 4 April 2011 - Pertandingan Bahas Ala Parlimen telah diadakan di SMK Hosba peringkat daerah Kubang Pasu. Pertandingan diadakan sebanyak tiga pusingan. Pertandingan ini disertai oleh sekolah seantero Kubang Pasu.     Tempat ketiga disandang oleh SMK Seri Mahawangsa dan SMK Bandar Baru Sintok. Tempat kedua disandang oleh SMK Pulau Nyior manakala SMK Jitra telah menjadi johan bagi bahas ala parlimen peringkat daerah. Pembahas    terbaik disandang oleh Shahir Ridzuan b. Ahmad Shafiai dari kelas 4 Opal. Tahniah diucapkan!!!

Sunday 3 April 2011

MAJLIS TADARUS AL QURAN DI PUNCAK KEJAYAAN

2 Apri 2011 - Majlis Tadarus al-Quran peringkat daerah telah diadakan di SMK Ayer Hitam dengan jayanya. Pelbagai pertandingan telah diadakan seperti pertandingan hafazan, nasyid dan syarahan bagi kategori  lelaki dan perempuan. Peserta dari SMK Jitra iaitu Firzan Hanif b. Abd Manap dari kelas 3 Cemerlang telah berjaya mendapat tempat ketiga bagi pertandingan hafazan manakala syarahan daripada kategori perempuan, iaitu Siti Khodijah bt. Zakaria dari kelas 5 Opal bejaya menjadi johan di peringkat daerah. Syarahan dari kategori lelaki pula, iaitu Muhammad Asyraf Wajdi b. Zakaria dari kelas 4 Opal mendapat naib johan peringkat daerah. Bagi pertandingan nasyid, SMK Jitra telah berjaya menjadi naib johan. Diharapkan kejayaan yang diperoleh ini dapat menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih baik pada masa hadapan.

MAJLIS PELANCARAN IHYA' RAMADHAN 2024

[ 11 Mac 2024] Pada hari kedua persekolahan sesi 2024 , SMJ telah adakan Majlis Pelancaran Ihya' Ramadhan di dewan Ibnu Sina ,SMK Jitra....