Thursday 21 March 2013

Kecewa ke universiti bakar semangat Nur Hayani Adlina- UTUSAN.COM


NUR Hayani Adlina Abdur Rahim menunjukkan keputusan 5A yang diperolehinya dalam peperiksaan STPM di Jitra, Kedah, semalam.
JITRA 18 Mac - Perasaan kecewa dua tahun lalu akibat permohonan ke universiti ditolak akhirnya berjaya ditebus pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 bagi Kedah, Nur Hayani Adlina Abdur Rahim, 20, apabila berjaya memperoleh keputusan 5A.
Pelajar aliran Sastera di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra itu berkata, setelah permohonan ke universiti menggunakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang tidak berjaya dua tahun lalu, dia mengambil keputusan untuk menduduki STPM.
"Saya sendiri tidak tahu apa punca saya gagal masuk ke universiti walaupun telah membuat rayuan jadi saya menganggap itu bukan rezeki saya.
"Tetapi ia tidak menghalang saya untuk terus belajar, sebab itulah saya membuat keputusan untuk mengambil peperiksaan STPM," katanya kepada pemberita ketika ditemui di SMK Jitra, di sini hari ini.
Nur Hayani Adlina yang merupakan salah seorang daripada 76 calon STPM 2012 di SMK Jitra, berasa terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pelajar terbaik negeri Kedah oleh Pengetuanya, Latipah Kassim.
Anak ketiga daripada empat adik beradik itu bagaimanapun masih belum membuat keputusan untuk memilih mana-mana universiti atau jurusan untuk melanjutkan pelajaran.
Katanya, dia mungkin akan mengambil pengajian dalam bidang perniagaan kerana bercita-cita untuk menjadi seorang ahli perniagaan pada masa depan.
Ditanya apakah rahsia kejayaannya, beliau berkata, cara pembelajaran yang dilakukan adalah sama seperti pelajar lain iaitu dengan menumpukan sepenuh perhatian sewaktu di dalam kelas.
"Cara saya belajar biasa sahaja, buat ulang kaji dan persediaan pun pada minit akhir apabila hampir waktu peperiksaan.
"Cuma apa yang saya utamakan adalah membuat nota kecil berwarna-warni sebagai rujukan selain membuat nota berbentuk peta untuk memudahkan saya faham," katanya.
Nur Hayani Adlina memperoleh A dalam lima subjek yang diambilnya iaitu Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah, Geografi dan Pengajian Perniagaan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130319/wu_04/Kecewa-ke-universiti-bakar-semangat-Nur-Hayani-Adlina#ixzz2O9GaJ8AC
© Utusan Melayu (M) Bhd

MAJLIS PELANCARAN IHYA' RAMADHAN 2024

[ 11 Mac 2024] Pada hari kedua persekolahan sesi 2024 , SMJ telah adakan Majlis Pelancaran Ihya' Ramadhan di dewan Ibnu Sina ,SMK Jitra....