Thursday 20 November 2014

SMK JITRA RAI GRADUAN DI HARI KEDUA KONVO

19 NOVEMBER 2014 / 26 MUHARAM 1436H
==================================

"UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA"
           (THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)

Oleh: H. Rasidah H. Rodzi
Gambar Oleh: Anjung Tamu

SMK JITRA RAI GRADUAN DI HARI KEDUA KONVO




ANJUNG TAMU ONLINE: Seramai  84 pelajar dan 6 guru pengiring Sekolah Menegah Kebangsaan Jitra (SMKJ) mengadakan lawatan ke UUM pada hari kedua Konvokesyen ke-27 serta turut memeriahkan suasana Konvokesyen.

Lawatan sambil belajar dibawah Program Jalinan Bestari UUM-SMKJ Siri ke 2 ini diselaraskan dengan kerjasama Persatuan Sains Kuantitatif (QUSAC), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, College of Art and Sciences (CAS) UUM. SMKJ merupakan salah sebuah “Sekolah Kluster Kecemerlangan”.

“Pelajar amat gembira dapat melawat UUM semasa Majlis Konvokesyen. Ini adalah pendedahan dan pengalaman terbaik untuk mereka meningkatkan minat serta motivasi untuk belajar dengan tekun,” kata Guru Penasihat SMKJ Abd Aziz Saad.  Beliau juga merupakan Ketua Panitia merangkap Ketua Kebitaraan Matematik. Ketua Jabatan Matematik dan Statistik, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif UUM, Dr. Masnita Misiran turut mengiringi rombongan SMKJ.

Sementara itu, staf Welcome Centre memberikan taklimat kepada pelajar agar mereka mengenali UUM dengan lebih dekat, mencakupi sejarah penubuhan dan kepimpinan UUM.

Rombongan SMKJ kemudiannya melawat galeri,  loteng (Tingkat Atas) dan bergambar di Laman Padi Organik Welcome Centre.

==========================
DARIPADA:
ANJUNG TAMU
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
CANSELORI
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM)
TEL.: 04-928 3044/3050/3051/3098
FAKS: 04-928 3095

Wednesday 15 October 2014

217 CALON PT3 SMK JITRA MELANGKAH KE DEWAN

13 Oktober 2014 - Bukan sahaja menjadi sejarah kepada negara, malah menjadi sejarah peribadi kepada 217 orang calon PT3 sekolah kita telah terlibat dalam peperiksaan tersebut. Walaupun hanya ditadbir oleh pihak sekolah, namun segala prosedur peperiksaan awam dipatuhi oleh pihak sekolah.

Pada hari pertama, Bahasa Melayu menjadi kertas pembuka tirai PT3. Debaran disambung dengan mata pelajaran Matematik. Pelbagai ragam pelajar telah dirakamkan sebelum dan selepas menghadapi peperiksaan. Peperiksaan akan ditutup dengan mata pelajaran Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan Bahasa Arab pada 16 Oktober 2014.

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN

PT3 - SEJARAH NEGARA - PETIKAN BERITA RTM

 
Kuala Lumpur - Sebanyak 453,413 calon menduduki Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang julung kali diadakan di 2,608 pusat peperiksaan seluruh negara, bermula hari ini hingga Khamis (16 Okt).

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan, ujian bertulis bagi peperiksaan yang menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu meliputi 12 mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam.

Mata pelajaran selebihnya ialah Kemahiran Hidup Bersepadu, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun, Bahasa Iban dan Bahasa Punjabi.

"Pengurusan dan pemeriksaan skrip jawapan calon bagi Ujian Bertulis PT3 adalah di bawah tanggungjawab pengetua sekolah.

"Bagaimanapun, Lembaga Peperiksaan dan Jabatan Pendidikan Negeri akan menjalankan moderasi pemeriksaaan bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan skor calon," menurut kenyataan itu.

Pelaporan pencapaian murid bagi PT3 diberikan dalam bentuk Gred A, B, C, D, E dan F.

PT3 dimulakan dengan instrumen kajian kes bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi pada 1 hingga 18 Julai, ujian lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 6 hingga 29 Ogos dan ujian bertulis dari 13 hingga 16 Okt.

HARI KOKURIKULUM DAN MALAM ANUGERAH KLUSTER KETERAMPILAN 2014

27 September 2014-  Semua warga SMK Jitra telah membanjiri Medan Ilmu bersempena Hari Kokurikulum. Pelbagai gerai jualan mula beroperasi pada awal pagi sehingga petang. Antara barangan yang dijual termasuklah makanan dan minuman, pelbagai aksesori wanita, dan pakaian.

Turut mengambil bahagian ialah institusi-institusi pengajian tinggi dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Cabutan bertuah memeriahkan suasana di samping pertandingan yang diadakan secara terbuka di kantin sekolah. Pertandingan yang paling menarik perhatian ialah Karaoke Nasyid dan Lagu-lagu Patriotik dan juga Pertandingan Memasak Tanpa Dapur.

Pada malam harinya pula diadakan majlis penyampaian anugerah kepada agensi. guru dan pelajar yang mempunyai pencapaian tertinggi pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Tarikh 27 September benar- benar meraikan sumbangan warga SMK Jitra dalam meningkatkan prestasi sekolah ke arah memartabatkan pendidikan bertaraf dunia.

Tuesday 12 August 2014

8S, Anugerah SMART Fasa 1 2014 -Jihah

 30 Mac 2014- SMK Jitra telah melancarkan Program 8S yang merupakan kempen bagi memupuk semangat untuk memartabatkan amalan sopan santun dan terpuji. Antara 8S tersebut ialah, Salam, Sayang, Segak, Segera, Sempuna, Sensitif, Senyum, dan Sopan. Program ini dilancarkan oleh Unit HEM dan Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Jitra. Melalui pelancaran program ini, pihak sekolah berharap agar matlamat utama untuk melahirkan insan berminda kelas pertama dapat dicapai. Pihak sekolah yakin bahawa program ini dapat membentuk peribadi mulia para pelajar agar menjadi insan yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.

 Selain itu, berikutan dengan Program 8S, Program SMART pula dilaksanakan. Objektif pelaksanaan Program SMART ini bertujuan untuk member ikan pengiktirafan secara berkala kepada para pelajar yang memenuhi kriteria SMART yang telah ditetapkan. Antara kriteria tersebut adalah daripada perkataan SMART itu sendiri iaitu:

S = SOPAN    M = MESRA    A = AMANAH    R = RAJIN   T = TERAMPIL

 
Mohammad Izzudin, 4 Peridot berkata;

                            

“ Saya berasa amat teruja apabila mengetahui akan mendapat anugerah SMART ini. Saya percaya bahawa Program SMART merupakan cara yang bagus bagi  menggalakkan pelajar untuk berkelakuan baik semasa berada di sekolah supaya berpeluang untuk mendapat anugerah SMART”


Semoga usaha murni ini mendapat kerjasama semua pihak demi merealisaikan visi dan misi sekolah. 

Program Antidadah -Jihah

Pada 9 Mac 2014, SMK Jitra telah melancarkan Bulan Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) peringkat sekolah.  Acara dimulakan dengan bacaan doa, kemudian diiringi oleh bacaan ikrar, Asmaul Husna, Nyanyian lagu “Negaraku” dan juga lagu sekolah. Selepas itu, ucapan perutusan Hari antidadah  telah diberikan oleh Penolong Kanan HEM, En. Ibrahim Bin Hamid. Kemudian ucapan perasmian majlis telah disampaikan oleh Pengetua sekolah, Pn Hajah Latipah Binti Kassim. Bacaan ikrar dari pelajar sekolah pula dilafazkan. Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu negeri Kedah.

Melalui program antidadah, pelajar diberi maklumat dan pendedahan tentang bahaya dan kesan penyalahgunaan dadah kepada manusia. Selain itu, pihak sekolah dapat meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran tentang pendidikan pencegahan dadah supaya dapat melahirkan pelajar minda kelas pertama yang bebas dari gejala dadah. 

Pertandingan Squasy -Jihah



Pada 26 hingga 28 Mac 2014, Pertandingan Squasy Peringakat MSSM telah diadakan di Seremban, Negeri Sembilan. Seorang wakil Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra telah menyertai pertandingan ini.Beliau merupakan pelajarbaru dari kelas 4 Diamond bernama Low Xin Hui. Pertandingan tersebut diwakili oleh pelajar-pelajar terpilih yang mewakili setiap negeri. Low Xin Hui berpeluang untuk merebut cabaran ini dengan mewakili negeri Kedah Darul Aman. Walaupun, persaingan  yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar dari negeri lain begitu hebat sekali, namun pelajar dari sekolah kita yang berbakat besar ini, berjaya merangkul pingat emas dalam kategori bawah 18 perempuan. Kejayaan seperti ini telah menaikkan dan mengharumkan nama sekolah. Walaupun, kini sekolah kita hanya mempunyai seorang wakil untuk meneruskan permainan squasy, namun hal ini tidak melemahkan semangat beliau. Tahniah diucapkan kepada Low Xin Hui! Semoga beliau terus berusaha untuk mengharumkan nama sekolah.

Friday 27 June 2014

INFLAKASTA

17-18 Jun 2014 - Pertandingan Drama Komsas Peringkat Daerah Kubang Pasu telah diadakan di Pusat Seni UUM. Sebanyak 8 buah sekolah telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini . Seramai 14 orang pelajar SMK Jitra telah terlibat dalam pertandingan yang membawa mesej impak negatif peperangan melalui drama berjudul Inflakasta. Drama ini merupakan petikan daripada drama Tingkatan 2.

Semua pelakon dan krew yang terlibat telah bertungkus-lumus dalam pertandingan tersebut dan membawa kemenangan kepada pihak sekolah sebagai naib johan. Menurut Pn. Hajah Arison bt. Din, walaupun pasukan hanya bergelar naib johan tetapi kemenangan pasukan adalah secara bermaruah dan beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian pasukan drama sekolah. Syabas, SMKJ boleh!

SELAMAT DATANG TAN SRI - Aida



Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman b Arshad, Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster Kecemerlangan telah membuat lawatan kerja ke SMK Jitra pada Isnin, 14 April yang lalu. Kedatangan beliau telah disambut oleh paluan kompang oleh pelajar putera asrama dan seterusnya persembahan silat oleh ahli Persatuan Silat Seni Gayong SMK Jitra, serta perbarisan kehormat. Selesai sesi fotografi para guru bersama Tan Sri dan acara tamparia oleh pelajar asrama, Tan Sri bersama isterinya diiringi oleh Puan Pengetua, Puan Hajah Latipah bt Kassim serta para guru ke Dewan Ibnu Sina untuk acara seterusnya.

   Acara jual beli pantun telah dijalankan di pintu dewan dengan harapan memberi kelainan pada lawatan beliau ke SMK Jitra berbanding sekolah-sekolah lain. Majlis dimulakan dengan ucapan salam daripada pengacara majlis, Puan Yusni bt Hassan dan doa di bawah pengurusan En. Badrul Hisham b Hashim. Kedatangan Tan Sri telah disajikan dengan tayangan video kebitaraan sekolah dan persembahan choral speaking, wusyu serta puisi daripada para pelajar.


   Seterusnya, kumpulan lawatan Tan Sri dengan iringan puan pengetua dibawa melihat keliling sekolah khususnya bilik-bilik kebitaraan, bilik metematik dan bilik bahasa misalnya bagi menunjukkan perkembangan sekolah dari pelbagai aspek. Pandangan dan ulasan Tan Sri mengenai perjalanan sekolah ke arah sekolah yang lebih cemerlang harus mengutamakan kecemerlangan murid turut diambil perhatian sewajarnya. 


Ribuan terima kasih diucapkan oleh seluruh warga sekolah kepada Tan Sri kerana sudi meluangkan masa melawat sekolah kami.

Thursday 5 June 2014

BAHAS ALA PARLIMEN BAHASA INGGERIS DAERAH KUBANG PASU -Izzatun





7 April 2014 – Satu pertandingan bahas Bahasa Inggeris telah diadakan di SMK Hosba. Seramai 5 orang pelajar dari SMK Jitra telah mewakili sekolah ke pertandingan tersebut.Pelajar yang mengambil bahagian merupakan 3 orang pelajar dari kelas 5 Peridot iaitu Nurin Alya,Khairunnissa Asyikin dan Fatin Nadia serta 2 orang pelajar dari kelas 3 Cemerlang iaitu NurAtikah dan Aimee Suhaila.Pada pusingan pertama, mereka telah mengalahkan pasukan dari SMK Sintok. Manakala pada pusingan separuh akhir,SMK Seri Mahawangsa telah dikalahkan oleh para peserta dari SMK Jitra. Akhirnya,SMK Jitra telah mendapat tempat kedua apabila kandas di tangan  SMK Paya Kamunting.Tahniah diucapkan kepada para pelajar yang mewakili SMK Jitra atas kejayaan yang diperoleh. Pihak sekolah berbangga dan berharap agar mereka terus berusaha untuk merebut kembali gelaran johan pada tahun hadapan. 

SPM 2013 -Izzatun



20 Mac 2014Majlis penyerahan keputusan SPM telah diadakan di Dewan Ibnu Sina, SMK  Jitra. Seramai 41 orang daripada 273  calon telah mendapat keputusan cemerlang iaitu semua A dalam setiap mata pelajaran yang diambil. Peratus lulus yang telah dicapai ialah 91.94. Manakala gred peratus ialah 2.45. Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang menunjukkan riak muka yang amat gembira sekali setelah penat lelah mereka berjuang akhirnya telah terbayar.Pastinya keputusan itu merupakan hadiah kepada ibu bapa dan juga guru-guru. Walaupun keputusan SPM pada tahun 2013 tidak mencapai sasaran yang telah ditetapkan, namun pihak sekolah tetap berbangga atas kejayaan para pelajar.Tahniah diucapkan kepada semua calon yang telah menduduki peperiksaan, semoga SPM pada tahun akan datang memperoleh keputusan yang lebih baik.


Wednesday 30 April 2014

WUSHU ANTARABANGSA - Shai

Pada 8.3.2014 dan 9.3.2014, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra sekali lagi telah mengharumkan nama sekolah di peringkat antrabangsa. Hal ini bertepatan dengan Lim Jia Shin, 16 tahun dari kelas 4 Diamond telah menyertai Pertandingan Wushu, yang telah diadakan di Stadium Sukan, Yio Chu Kang, Singapura. Dalam pertandingan ini, beliau telah memenangi dua pingat emas dan satu pingat perak. Dua pingat emas yang dimenangi beliau ialah Standard Chang Quan dan Elementary Jian Shu manakala perak pula San Lu Chang Quan. Tahniah kerana menjulang nama sekolah ke peringkat antarabangsa.

   

Sunday 27 April 2014

KEM ASAS KAWAD TINGKATAN 1 & 2 - Haziq


  Pada 3.4.2014 hingaa 5.4.2014 bersamaan dengan hari Khamis, Jumaat dan Sabtu yang lalu, SMK Jitra telah mengadakan Kem Asas Kawad bagi semua pelajar SMK Jitra Tingkatan 1 & 2 bertempat di Stadium Mini sekolah. Kem ini dijayakan dan dikendalikan oleh beberapa orang guru dan murid tingkatan 3,4 & 5. Kem ini diadakan selama tiga hari berturut-turut dan bermula pada jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari pada hari Khamis & Jumaat manakala hari Sabtu bermula pada jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang.

      Kem ini diadakan bertujuan untuk melatih para pelajar tentang asas-asas kawad serta membina dan memupuk nilai-nilai murni seperti berdisiplin, tegas , amanah dan mempunyai semangat jati diri yang kuat dalam diri para pelajar.Selain itu, para pelajar turut diajar dan didedahkan dengan cara-cara dan teknik-teknik ikatan yang betul . Hal ini supaya para pelajar sudah ada asas-asas kawad yang boleh membantu mereka sekiranya mereka menghadiri kem latihan seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) nanti.

Barisan para guru & pelajar tingkatan 3,4 & 5 yang telibat dalam menjayakan kem ini


Murid-Murid diajar tentang asas kawad

  Walaupun hari cuti , para guru dan para pelajar sanggup mengorbankan hari cuti mereka untuk menghadiri Kem Asas Kawad ini. Tahniah diucapkan kepada para guru dan para pelajar yang terlibat dalam kem ini secara langsung atau tidak langsung. Tanpa pengorbanan mereka, sudah tentu kem ini tidak akan berjaya dilaksanakan. Tahniah !

MAJLIS PERSARAAN EN. SHABUDIN B. SHAFIE - Afiqah



SMK Jitra telah mengadakan satu majlis persaraan kepada En. Shabudin bin Shafie, Guru Bahasa Melayu bagi Sesi petang. Majlis ini telah dihadiri oleh para pelajar dari Tingkatan 1, 2 dan 3.

En. Shabudin telah dilantik sebagai guru pada 1 Mei 1980 dan beliau mula berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra pada 1 September 1999. Beliau merupakan seorang guru yang amat disenangi oleh para pelajar.

Majlis yang diadakan kepada beliau bermula pada pukul 12.45 tengah hari bertempat di Dewan Ibnu Sina. Majlis tersebut menjadi lebih sayu apabila dalam ucapan Pengetua, beliau menyatakan kekesalan kerana tidak dapat mengadakan majlis untuk arwah En. Abdul Hamid yang meninggal dunia akibat barah perut. Kemudian, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah daripada wakil pelajar, guru dan juga Pengetua.

Semoga dengan majlis yang diadakan ini, En.Shabudin dapat meninggalkan SMK Jitra dengan kenangan yang manis. Kami berharap agar En.Shabudin tidak akan melupakan kami di sini. 

KARNIVAL AMAL PANDU PUTERI - Afiqah


Pada 7 Mac (Jumaat) yang lalu, SMK Jitra telah menyertai Program Pandu Puteri Karnival Amal yang telah diadakan di Sungai Petani, Kedah. Beberapa orang ahli Pandu Puteri telah menyertai pertandingan-pertandingan yang diadakan di sana antaranya Pertandingan Pidato dan Pertandingan Kawad Kaki.


SMK Jitra telah muncul sebagai Naib Johan dalam Pertandingan Pidato yang diwakili oleh Siti Zulaikha. Kemenangan ini tidak disangka-sangka kerana pelajar ini baru pertama kali menyertai Pertandingan Pidato dan hanya berlatih berpidato selama sehari. Tahniah diucapkan kepadanya.


Bagi Pertandingan Kawad Kaki pula, SMK Jitra telah mendapat Tempat Ketiga dalam pertandingan tersebut. Usaha mereka selama ini sememangnya  telah membuahkan hasil. Tahniah diucapkan kepada setiap ahli yang menyertai pertandingan kawad kaki ini dan tidak lupa juga pada yang menyertai karnival ini. Semoga mereka terus berusaha untuk mengharumkan nama sekolah. 

BSMM DAERAH KUBANG PASU- Afiqah


Pada 3-5 April yang lalu, seramai 13 orang ahli BSMM telah menyertai Perkhemahan Asas Bulan Sabit Merah Malaysia Peringkat Belia Sekolah Menengah  Daerah Kubang Pasu  yang diadakan di Kem Paya Pahlawan. Mereka ke Kem Paya Pahlwan tersebut dengan menaiki empat buah kereta para guru BSMM iaitu Pn.Hazliza bt Hashim, En.Ahmad Jalaluddin bin Omar, Pn.Zawiyah bt Othman dan Puan Nabilah bt Osman.



Setibanya di sana, mereka diarahkan untuk mendirikan khemah masing-masing. Setelah itu pada malamnya pula mereka dibahagikan kepada 10 buah kumpulan yang mempunyai ahli dalam lingkungan 21-23 orang ahli dari pelbagai sekolah. Mereka telah diarahkan untuk membina sebuah bangunan yang melambangkan cirri-ciri BSMM menggunakan straw.


Keesokan harinya pula, mereka diajar cara-cara untuk berkawad oleh guru-guru di sana. Pada petang itu pula, mereka diajar definisi Pertolongan Cemas, cara-cara untuk menggunakan ‘stretcher’, cara-cara membalut kain anduh dan cara-cara melakukan CPR. Banyak ilmu yang disampaikan oleh para fasilitor dan guru kepada para pelajar. Malam hari itu pula diisi dengan persembahan dari setiap kumpulan seperti menyanyi dan berlakon. Para peserta kelihatan gembira sepanjang malam tersebut.


Pada hari terakhir perkhemahan tersebut pula, para peserta menyertai Pertandingan Kembara. Banyak aktiviti-aktiviti menarik yang telah disediakan.  Pertandingan ini telah memberikan pengalaman baru kepada kebanyakan para peserta. Selain itu, Pertandingan Kawad Kaki juga diadakan. Setiap kumpulan diarahkan untuk menghantar 5 orang wakil untuk menyertai pertandingan tersebut.
Selesai sahaja semua pertandingan tersebut, tibalah masa untuk penyampaian hadiah. Para peserta dari SMK Jitra telah Berjaya memenangi beberapa buah pertandingan yang diadakan. Senarai nama peserta tersebut ialah

1.       Johan Pertandingan Kembara
Nazirah bt Mohd Izmari
Noor Izatie bt Azizan

Naib Johan Pertandingan Kembara
Nur ‘Ain ‘Afifah bt Zainal Abidin

2.       Johan Pertandingan Kawad Kaki
Nor Athiqah bt Rozali
Atikah Fadhlah bt Abu Bakar

Naib Johan Pertandingan Kawad Kaki
Julia Farzana bt Mohd Nazri
Sharifah Ainul Syazwani bt Syed Azman

3.      Persembahan Terbaik
Nurul Syahidah bt Shuhaimi

Peserta perempuan terbaik juga telah dipilih daripada SMK Jitra iaitu Nor Athiqah bt Rozali. Tahniah diucapkan kepada para peserta dan juga para guru. Perkhemahan ini sememangnya telah memberikan pengalaman yang baru dan telah mengeratkan ukhuwah sesama peserta.

BAHAS ALA PARLIMEN PERINGKAT NEGERI KEDAH - Afiqah




Pada 5 April (Sabtu) yang lalu, SMK Jitra telah menyertai Pertandingan Debat Ala Parlimen Peringkat Negeri Kedah Darul Aman yang bertempat di SMK Tanjung Pauh. SMK Jitra telah menghantar 5 orang pelajar untuk mewakili sekolah ke pertandingan tersebut. Pelajar-pelajar tersebut ialah: 

1. Muhammad Hisyam bin Abdul Halem (5 Emerald)
2. Muhammad Amirul Aiman bin Ismail (3 Cerdas)
3. Tuan Nur Hanani bt Tuan Rosdan (5 Jade)
4. Nur Atikah bt Md Amin (5 Pearl)
5. Fatini bt Ismail




SMK Jitra kalah kepada Kolej Sultan Abdul Hamid pada peringkat kedua. Kolej Sultan Abdul Hamid telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan ini. Walau bagaimanapun, usaha, semangat dan keberanian para pelajar wajar diberikan penghargaan. Tahniah diucapkan kepada mereka. Diharap mereka akan berjaya merangkul Johan pada masa akan datang.

Tuesday 1 April 2014

PERTANDINGAN CATUR DAERAH - Syamir

         Pertandingan catur peringkat daerah Kubang Pasu telah diadakan di SMK Megat Dewa. Beberapa pelajar SMK Jitra yang terpilih telah menyertai pertandingan tersebut dan mereka telah bersaing dengan para peserta daripada sekolah-sekolah menengah harian dan sekolah-sekolah berasrama penuh walaupun berasa sedikit gentar di dalam dada. Salah seorang wakil SMKJ Nur Farahin Idrus telah memenangi tempat ke - 4 bagi kategori bawah 18 tahun perempuan manakala Muhammad Imran Hanif daripada   5 Opal telah mendapat tempat ke-5 bagi kategori bawah 18 tahun lelaki. Seterusnya, Yogasyini  telah mendapat tempat ke - 6 bagi kategori bawah 15 tahun perempuan.

         Mereka telah berlatih bersungguh-sungguh dan memerah keringat dalam membuat persiapan rapi sebelum hari pertandingan. Melalui pertandingan ini mereka dapat memperoleh lebih banyak pengalaman untuk Berjaya pada masa hadapan bak kata pepatah jauh perjalanan, luas pengalaman. Akhirnya, mereka juga dapat menambah lebih banyak kenalan dan mengeratkan hubungan antara para pelajar lain berdasarkan kata-kata daripada pemimpin negara kita `perpaduan asas kejayaan’ dan semoga perpaduan lebih kukuh melalui pertandingan ini seterusnya mewujudkan keharmonian negara.

Tuesday 4 February 2014

MERENTAS ALAM SMK JITRA - Haziq



18 Januari 2014 – SMK Jitra telah mengadakan aktiviti Merentas Alam kali ke-46. Aktiviti ini dilakukan sepanjang tahun dengan tujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam kalangan murid. Acara dimulakan dengan aktiviti senamrobik dan memanaskan badan di Stadium Mini A & B pada tepat jam 8.00 pagi . Aktiviti senamrobik ini dipimpin dan diketuai oleh Cikgu Hussein Bin Lateh dan beberapa orang guru yang bertugas.

Pada sekitar jam 8.45 pagi, semua pelajar dilepaskan oleh pengetua SMK Jitra iaitu Puan Latipah Binti Kassim di Pintu Pagar C sekolah . Acara ini terbahagi kepada empat kategori iaitu bawah 15P=6KM, bawah 15L=6KM, bawah 18P=6KM dan bawah 18L=8KM . Semua pelajar yang mengambil bahagian selamat sampai di sekolah pada sekitar jam 10.30 pagi. Setelah penat berlari, semua murid menikmati hidangan yang disediakan oleh semua rumah sukan masing-masing sebelum majlis penyampaian hadiah berlangsung.




Acara diteruskan lagi dengan majlis perasmian oleh Puan Pengetua SMK Jitra dan penyampaian hadiah kepada para pemenang pada jam 11.15 pagi bertempat di Dewan Ibnu Sina. Johan bagi kategori utama iaitu bawah 18L dimenangi oleh Tan Nian Han dari kelas 4 Amethyst dan 15L diungguli oleh Tan Yi Hong. Terdapat juga beberapa wajah baru yang turut menonjol dan memenangi dalam acara merentas alam ini. Majlis bersurai pada jam 12.30 tengah hari .

Wednesday 29 January 2014

BATCH 98 PMR TERAKHIR- Aida

19 Disember 2013 – Menurut Pengetua, Puan Latipah binti Kassim, SMK Jitra telah mencatatkan peningkatan dalam keputusan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2013 berbanding tahun 2012. Keputusan telah diumumkan pada jam 10 pagi, bertempat di Dewan Ibnu Sina, Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra. Seramai 254 orang calon telah menduduki peperiksaan tersebut dan 107 (42.13%) orang daripadanya telah mendapat ‘A’ dalam semua mata pelajaran. Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) ialah 1.24 dengan jumlah peratus lulus adalah 100%. Ini menunjukkan peningkatan pada peratus lulus berbanding tahun 2012 yang tidak mencapai sasaran. SMKJ muncul pada tangga ke-4 dalam Daerah Kubang Pasu dan ke-11 dalam negeri Kedah.

PMR tahun ini adalah yang terakhir sebelum digantikan dengan sistem pentaksiran berasaskan sekolah bermula pada tahun 2014 iaitu 100 peratus akan dilaksanakan melalui penambahbaikan sistem yang merangkumi pentaksiran sekolah, pentaksiran pusat, pentaksiran aktiviti, jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik

Monday 27 January 2014

SMK JITRA BERSELAWAT - Syamir

14 Januari 2014 -SMK Jitra telah mengadakan Sambutan Maulidur Rasul pada hari persekolahan yang lalu.Rata-rata pelajar mengenakan baju Melayu dan samping yang menyerikan lagi sambutan ini. Tepat jam 8 pagi , Perarakan Selawat  atas Nabi dilaksanakan mengelilingi kawasan sekolah.Lantunan selawat perarakan tersebut dapat dirasakan oleh semua peserta justeru menghangatkan sambutan ini.

Seterusnya , sambutan ini juga dihiasi dengan ucapan alu-aluan daripada Guru Besar SMKJ , Puan Latipah bt. Kassim dan ceramah maulidui Rasul. Sambutan ini sedikit sebanyak dapat menguatkan sifat kecintaan kepada baginda nabi dan mengeratkan ukhuwah  antara kakitangan sekolah.Tahniah kepada Panitia Pendidikan Islam dan Persatuan Agama Islam yang telah bertukus-lumus dalam menjayakan sambutan ini.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU CINA - Izzatun

31 Jan 2013 – Tahun Baru Cina disambut oleh semua agama Buddha pada setiap awal tahun. Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan.

Ang pau bagi ahli terdekat dalam keluarga kadang-kadang diberi sewaktu jamuan pertemuan semula. Paket ini sering mengandungi duit dalam bilangan nombor tertentu yang mencerminkan tuah dan kehormatan.

Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.Dalam menyambut Tahun Baru Cina ini,pasti kita akan diberi buah tangan seperti buah limau.Tahukah anda buah limau mempunyai khasiat iaitu vitamin A dan C yang boleh menggantikan vitamin harian kita?

Warga Buletin mengucapkan...

SELAMAT TAHUN BARU CINA KEPADA SEMUA GURU, PELAJAR DAN PEMBACA BULETIN SMK JITRA !

MAJLIS BACAAN YASSIN MEGA DAN KHATAM AL-QURAN KALI PERTAMA TAHUN 2024

[ 21 Mac 2024 ] SMK Jitra telah mengadakan Majlis Bacaan Yassin Mega dan Khatam Al-Quran kali pertama pada tahun 2024. Majlis ini diadakan d...