Monday, 15 June 2015

SMK JITRA MENJALIN KASIH DENGAN KAMPUNG PERING

 "Kami sedia berbakti"
23 Mei 2015 - Program Kembara Jalinan Kasih Jubli Emas SMK Jitra telah diadakan pada 23.05.2015. Pelbagai aktiviti diadakan bagi memenuhi program sehari bersama-sama penduduk di kampung tersebut. Semua peserta berkumpul di sekolah sebelum bertolak ke Kampung Pering. Tambah bersejarah apabila pelajar-pelajar Prau 2 menyertai konvoi bermotosikal di samping pelajar-pelajar dari Tingkatan 1 hingga 5 yang turut mengikuti rombongan.

 Berehat sebentar melepaskan lelah

Semua peserta disambut meriah dengan hidangan sarapan yang menyelerakan disediakan oleh penduduk kampung. Slot untuk para guru dan penduduk kampung dimulakan dengan ceramah kesihatan, diikuti ceramah keluarga bahagia. Seusai ceramah, majlis perasmian diadakan diikuti Kenduri Rakyat .

 Ceramah kesihatan
Konvoi Bermotosikal

            Sesi petang diserikan dengan pelbagai permainan sukaneka, di samping bola sepak sebagai permainan utama. Program ini benar-benar mengeratkan silaturahim antara warga SMK Jitra dengan penduduk kampung. Di samping itu, para pelajar turut merasai kehidupan di kampung dan  bergotong-royong bersama-sama penduduk kampung.







PELANCARAN PROGRAM IHYA RAMADAN DAN TABUNG JUBLI EMAS

15 Jun 2015- Perhimpunan rasmi sekolah menyaksikan dua aktiviti pelancaran serentak telah dijalankan. Program Ihya Ramadan dan Tabung Jubli Emas telah dirasmikan oleh Puan Hajah Latipah Bt. Kassim.

Beliau turut menyampaikan tazkirah ringkas tentang kelebihan bulan Ramadan dan kaedah terbaik bagi memenuhi bulan berkat tersebut. Bersedekah menjadi antara amalan utama umat Islam semasa di bulan Ramadan. Justeru, turut menjadi agenda utama perhimpunan ialah Tabung Jubli Emas dilancarkan. Hal ini adalah kerana, banyak aktiviti akan dijalankan sempena sambutan tersebut yang bakal menelan belanja hampir RM 25,000.00.

Menurut Puan Hajah Latipah, pelajar yang berjaya membuat kutipan terbanyak akan diberikan hadiah misteri semasa hari sambutan berlangsung. Antara aktiviti yang akan diadakan ialah pameran-pameran daripada agensi-agensi awam dan swasta, demonstrasi masakan dan jahitan manik, pameran kucing, pertandingan teh tarik dan pelbagai permainan padang.


HARI GURU -Afiqah

SMK Jitra telah mengadakan Sambutan Hari Guru di Dewan Ibnu Sina pada 18 Mei 2015. Sambutan ini diadakan sebagai penghargaan kepada para guru yang telah banyak menabur bakti dalam mendidik para pelajar. Sambutan ini telah dirasmikan oleh YDP PIBG SMK Jitra, En. Zainol Abidin bin Ahmad.


     Majlis diteruskan dengan ucapan daripada pengetua sekolah, Pn. Hajah Latipah binti Kassim dan acara pemotongan kek yang disumbangkan oleh wakil Bank Rakyat.Seterusnya,  para pelajar diberi peluang untuk menikmati jamuan di kelas masing-masing. Sambutan hari guru ini diakhiri dengan persembahan-persembahan daripada para pelajar yang berbakat. Persembahan paling menarik telah ditunjukkan oleh para pelajar tingkatan lima daripada kumpulan Shoutul Hadi. Mereka telah membuat persembahan yang berjaya menghiburkan hati warga SMK Jitra.


 Link video di sini

  Pada akhir persembahan, tayangan video karya pelajar tingkatan lima 2015 telah dipersembahkan. Video ini merupakan penghargaan mereka kepada para guru yang banyak bersabar dengan kerenah mereka sepanjang berada di sekolah dan sebagai kenangan sebelum mereka meninggalkan sekolah selepas SPM. Video ini telah berjaya menunjukkan kreativiti mereka untuk menghasilkan video yang menarik. Walaupun penat, semua pelajar dilihat begitu gembira sepanjang majlis tersebut termasuk juga semua guru SMK JItra. Selamat Hari Guru, cikgu.

Majlis Aprisiasi Alumni SMK Jitra - Afiqah

Pada 12 April 2015 yang lalu, SMK Jitra telah mengadakan Majlis Aprisiasi Alumni SMK Jitra di Dewan Ibnu Sina. Majlis ini bermula pada 7.45 pagi dengan ketibaan para pentadbir sekolah serta tetamu-tetamu yang terdiri daripada bekas pelajar SMK Jitra tahun 1976-1980.


          Kehadiran mereka diibaratkan seperti pinang pulang ke tampuk kerana mereka ingin menabur bakti dengan menyampaikan beberapa sumbangan kepada pihak sekolah. Antara sumbangan tersebut termasuklah:


-  Penanda buku kepada semua pelajar SMK Jitra
-  3 pohon pokok kurma untuk ditanam di kawasan sekolah
-  Baucar Cermin mata bernilai RM 150 kepada 30 orang pelajar yang terpilih
-  Kertas A4 sebanyak 500 Rim
-  4 buah laptop kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM 2014
-  RM 1000 daripada Wan Clinic untuk Sambutan Jubli Emas SMK Jitra pada Jun ini


           Dalam ucapan Dato Mohamed Mosin bin Abdul Razak iaitu Naib Presiden KIMMA Malaysia, beliau menyeru para pelajar agar tidak lupa akan jasa sekolah kepada diri apabila dewasa kelak. Beliau turut menyarankan mereka agar memberikan sumbangan kepada sekolah suatu hari nanti sebagai tanda penghargaan kepada sekolah yang membantu membentuk diri menjadi seorang yang berilmu. Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian hadiah daripada para tetamu kepada pihak sekolah. 4 orang pelajar yang berjaya mendapat laptop atas kejayaan cemerlang dalam SPM dan STPM ialah:


·  Mohammad Syamsul Aliff bin Abdul Ghani 12A (SPM)
·  Sutarsan A/L Chandran (STPM)
·  Nur Azira binti Ibrahim (STPM)
·  Chiang Yi  (STPM)


            Semoga majlis ini dapat memberikan kesedaran kepada para pelajar agar mengenang jasa sekolah walaupun telah bertahun-tahun lamanya meninggalkan sekolah. Semoga majlis ini juga dapat menyemarakkan semangat para pelajar untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kecemerlangan dalam  akademik. Terima kasih daripada pihak buletin kepada para tetamu yang sudi menghulurkan sumbangan kepada sekolah.

KEM KACA -Afiqah




Pada 28-30 Mei 2015, SMK Jitra telah mengadakan Kem Asas Kecemerlangan Akademik (KACA) di Universiti Utara Malaysia. Kem ini telah dihadiri sebanyak 80 orang pelajar tingkatan lima yang terpilih beserta beberapa orang guru pengiring. Kem ini telah diadakan untuk memberi pendedahan yang lebih mendalam kepada para pelajar  tentang 4 subjek penting iaitu Matematik tambahan, fizik, biologi dan kimia.



       Selain itu, terdapat juga beberapa aktiviti Latihan dalam Kumpulan (LDK) bersama-sama fasilitator daripada UUM ( Sekretariat Pembimbing Rakan Siswa UUM ). Melalui aktiviti-aktiviti LDK ini, pelajar dapat bergembira sambil belajar tentang kepentingan mempunyai strategi, fokus dan semangat bekerjasama untuk berjaya. Pada masa yang sama, mereka berjaya memberikan motivasi kepada para pelajar untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik supaya dapat cemerlang dalam SPM pada bulan Nov ini.




  Kem ini dilihat memberi banyak manfaat kepada para pelajar. Mereka dapat belajar daripada para guru cemerlang dan dapat melepaskan tekanan bersama-sama para fasilitator UUM. Semoga kem ini dapat membantu sekolah untuk meningkatkan kecemerlangan dalam keputusan SPM nanti.