Monday 23 October 2017

PERGINYA SEORANG LAGI PERMATA SMK JITRA - NABIL,ADAM

23.10.2017 - Seorang lagi guru telah meninggalkan SMK Jitra, namun beliau bukan sahaja seorang guru dan pengetua malah beliau merupakan seorang bapa yang sangat menyayangi anak-anaknya dan mendidik mereka dengan penuh dedikasi. Encik Ahmad Rushdan bin Abdul Aziz, nama yang sangat terkenal dan tidak asing lagi buat warga SMK Jitra telah menamatkan jawatannya sebagai seorang pengetua pada tarikh tersebut. Hari tersebut merupakan hari yang penuh dengan sedih dan pilu membayangkan bahawa pengetua yang disayangi akan bersara kerana telah genap 60 tahun umur beliau pada 22.10.2017. Sebuah majlis khas dan istimewa telah diadakan untuk meraikan persaraan beliau. Majlis itu diadakan di Dewan Ibnu Sina pada pukul 10.30 pagi. Semua pelajar, guru dan staf berkumpul untuk menjayakan majlis persaraan Encik Ahmad Rushdan atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Rushdan.

Cikgu Rushdan bergambar bersama-sama para guru dan staf.
Setibanya Cikgu Rushdan di Dewan Ibnu Sina, suasana dewan berubah dan penuh dengan sorakan yang ditujukan untuk Tuan Pengetua. Beliau hadir dengan berpakaian kemeja putih. Kemudian, majlis dimulakan dengan bacaan doa dan beberapa ucapan daripada warga SMK Jitra. Biodata beliau turut diperdengarkan yang membuatkan semua pelajar berasa bangga kerana mendapatkan pengetua yang banyak memperoleh kejayaan dalam hidup beliau. Seterusnya, saat yang ditunggu-tunggu oleh semua orang, ucapan daripada Cikgu Rushdan sendiri. Beliau meluahkan rasa bangganya kerana dapat menabur bakti dengan menjadi pengetua di SMK Jitra walaupun dengan tempoh masa yang sangat singkat iaitu selama 1 tahun 11 bulan sahaja. Acara penyampaian dijalankan dan diikuti acara perarakan Tuan Pengetua. Semua murid beratur mengelilingi sebahagian kawasan sekolah untuk menunjukkan penghargaan terakhir untuk Cikgu Rushdan. Beliau menaiki kereta jenis 4x4 dan melambai-lambai kepada para pelajar yang sekali gus mengimbau kembali zaman rombongan merdeka pada tahun 1957.

Tuan Pengetua berucap di Dewan Ibnu Sina.
Izinkan saya menceritakan serba sedikit tentang biodata Encik Ahmad Rushdan bin Abdul Aziz. Cikgu Rushdan dilahirkan pada 22 Oktober 1957 hasil perkongsian hidup pasangan bahagia bernama Abdul Aziz bin Harun dan Bedah binti Din. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Arau, Perlis dan kemudiannya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Dato Syeikh Ahmad. Beliau pernah mendapat tawaran untuk menganggotai pasukan polis namun ditolak ayahanda dan bondanya. Beliau menyambung pengajian dalam bidang Matematik di Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1977 dengan hasrat untuk menjadi seorang guru. Setelah tamat pengajian, beliau ditugaskan mengajar Bahasa Inggeris di SMK Seri Mahawangsa, Jitra meskipun bidang kemahiran beliau ialah Matematik. Kemudian, beliau terus mencurahkan ilmu di 4 buah sekolah dan berakhir dengan SMK Jitra. Sepanjang perkhidmatan beliau telah menerima beberapa anugerah iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 1997, 2006, 2009 dan 2016 serta anugerah Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM). Beliau mendirikan rumah tangga dengan Azizah binti Haji Ramli dan dikurniakan 3 orang cahaya mata. Cikgu Rushdan suka bercucuk tanam untuk berbudi kepada tanah dan pasti ada hasilnya. Itulah sedikit sebanyak kisah hidup Encik Ahmad Rushdan dalam usahanya mendidik golongan muda untuk berjaya.

Akhir kata, diharapkan Cikgu Rushdan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan rezeki yang melimpah ruah. Jangan lupakan kami di SMK Jitra dan kami berjanji akan sentiasa mengingati cikgu sebagai seorang pengetua yang hebat dan terbaik di SMK Jitra. Terima kasih kami ucapkan diatas segala kejayaan yang dihasilkan semasa cikgu bertugas di SMK Jitra. Diharapkan juga cikgu dapat menjalani kehidupan dengan penuh kebahagiaan dankesejahteraan. Sekalung kenangan dan sejuta penghargaan buatmu cikgu. Sekali lagi, terima kasih atas budimu yang tidak mampu kami balas, Encik Ahmad Rushdan bin Abdul Aziz.





No comments:

Post a Comment

MAJLIS BACAAN YASSIN MEGA DAN KHATAM AL-QURAN KALI PERTAMA TAHUN 2024

[ 21 Mac 2024 ] SMK Jitra telah mengadakan Majlis Bacaan Yassin Mega dan Khatam Al-Quran kali pertama pada tahun 2024. Majlis ini diadakan d...