Tuesday 31 October 2017

SELAMAT DATANG CIKGU - NABIL

31.10.2017 - Satu majlis telah diadakan untuk menyambut ketibaan pengetua baru SMK Jitra, Encik Osman bin Noor. Beliau hadir ke SMK Jitra tepat pada jam 1 tengah hari. Encik Osman disambut meriah oleh guru-guru yang terlibat. Encik Osman juga merupakan bekas pengetua  SMK Syed Mohamed Al-Bukhary dan SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman. Sebenarnya, Encik Osman bukanlah 'orang baru' di mata warga SMK Jitra kerana beliau pernah menjadi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) beberapa tahun lalu. Dalam ucapannya, beliau menceritakan nostalgia-nostalgia yang masih kekal dalam ingatannya lebih-lebih lagi semasa SMK Jitra dilanda banjir. Beliau juga mengharapkan agar dapat bekerjasama dengan para guru dan dapat menerima tunjuk ajar daripada mereka. Majlis sambutan tersebut disudahi dengan acara memotong pulut kuning dan jamuan makan. Akhir kata, selamat datang ke SMK Jitra kami ucapkan dan semoga dengan kehadiran cikgu SMK Jitra akan mencapai kecemerlangan dalam semua lapangan.





Monday 23 October 2017

PERGINYA SEORANG LAGI PERMATA SMK JITRA - NABIL,ADAM

23.10.2017 - Seorang lagi guru telah meninggalkan SMK Jitra, namun beliau bukan sahaja seorang guru dan pengetua malah beliau merupakan seorang bapa yang sangat menyayangi anak-anaknya dan mendidik mereka dengan penuh dedikasi. Encik Ahmad Rushdan bin Abdul Aziz, nama yang sangat terkenal dan tidak asing lagi buat warga SMK Jitra telah menamatkan jawatannya sebagai seorang pengetua pada tarikh tersebut. Hari tersebut merupakan hari yang penuh dengan sedih dan pilu membayangkan bahawa pengetua yang disayangi akan bersara kerana telah genap 60 tahun umur beliau pada 22.10.2017. Sebuah majlis khas dan istimewa telah diadakan untuk meraikan persaraan beliau. Majlis itu diadakan di Dewan Ibnu Sina pada pukul 10.30 pagi. Semua pelajar, guru dan staf berkumpul untuk menjayakan majlis persaraan Encik Ahmad Rushdan atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Rushdan.

Cikgu Rushdan bergambar bersama-sama para guru dan staf.
Setibanya Cikgu Rushdan di Dewan Ibnu Sina, suasana dewan berubah dan penuh dengan sorakan yang ditujukan untuk Tuan Pengetua. Beliau hadir dengan berpakaian kemeja putih. Kemudian, majlis dimulakan dengan bacaan doa dan beberapa ucapan daripada warga SMK Jitra. Biodata beliau turut diperdengarkan yang membuatkan semua pelajar berasa bangga kerana mendapatkan pengetua yang banyak memperoleh kejayaan dalam hidup beliau. Seterusnya, saat yang ditunggu-tunggu oleh semua orang, ucapan daripada Cikgu Rushdan sendiri. Beliau meluahkan rasa bangganya kerana dapat menabur bakti dengan menjadi pengetua di SMK Jitra walaupun dengan tempoh masa yang sangat singkat iaitu selama 1 tahun 11 bulan sahaja. Acara penyampaian dijalankan dan diikuti acara perarakan Tuan Pengetua. Semua murid beratur mengelilingi sebahagian kawasan sekolah untuk menunjukkan penghargaan terakhir untuk Cikgu Rushdan. Beliau menaiki kereta jenis 4x4 dan melambai-lambai kepada para pelajar yang sekali gus mengimbau kembali zaman rombongan merdeka pada tahun 1957.

Tuan Pengetua berucap di Dewan Ibnu Sina.
Izinkan saya menceritakan serba sedikit tentang biodata Encik Ahmad Rushdan bin Abdul Aziz. Cikgu Rushdan dilahirkan pada 22 Oktober 1957 hasil perkongsian hidup pasangan bahagia bernama Abdul Aziz bin Harun dan Bedah binti Din. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Arau, Perlis dan kemudiannya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Dato Syeikh Ahmad. Beliau pernah mendapat tawaran untuk menganggotai pasukan polis namun ditolak ayahanda dan bondanya. Beliau menyambung pengajian dalam bidang Matematik di Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1977 dengan hasrat untuk menjadi seorang guru. Setelah tamat pengajian, beliau ditugaskan mengajar Bahasa Inggeris di SMK Seri Mahawangsa, Jitra meskipun bidang kemahiran beliau ialah Matematik. Kemudian, beliau terus mencurahkan ilmu di 4 buah sekolah dan berakhir dengan SMK Jitra. Sepanjang perkhidmatan beliau telah menerima beberapa anugerah iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 1997, 2006, 2009 dan 2016 serta anugerah Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM). Beliau mendirikan rumah tangga dengan Azizah binti Haji Ramli dan dikurniakan 3 orang cahaya mata. Cikgu Rushdan suka bercucuk tanam untuk berbudi kepada tanah dan pasti ada hasilnya. Itulah sedikit sebanyak kisah hidup Encik Ahmad Rushdan dalam usahanya mendidik golongan muda untuk berjaya.

Akhir kata, diharapkan Cikgu Rushdan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan rezeki yang melimpah ruah. Jangan lupakan kami di SMK Jitra dan kami berjanji akan sentiasa mengingati cikgu sebagai seorang pengetua yang hebat dan terbaik di SMK Jitra. Terima kasih kami ucapkan diatas segala kejayaan yang dihasilkan semasa cikgu bertugas di SMK Jitra. Diharapkan juga cikgu dapat menjalani kehidupan dengan penuh kebahagiaan dankesejahteraan. Sekalung kenangan dan sejuta penghargaan buatmu cikgu. Sekali lagi, terima kasih atas budimu yang tidak mampu kami balas, Encik Ahmad Rushdan bin Abdul Aziz.





Friday 20 October 2017

14 PEMAIN BOLA TAMPAR SMJ PEMBAWA TUAH

20 Okt. 2017- Antara kejayaan penutup akhir tahun telah dilakar oleh pasukan bola tampar Zon Kedah Utara apabila muncul johan B14L, B16L, B14P dan B16P. Sebanyak 14 pemain terdiri daripada pelajar-pelajar SMK Jitra iaitu 11 lelaki dan 3 perempuan.
Kejayaan tersebut menjadikan pasukan Zon Utara muncul Johan Keseluruhan. Tahniah kepada jurulatih dan pemain. Pertahankan kemenangan untuk tahun-tahun hadapan.




Thursday 19 October 2017

DEDIKASI UNTUK DIA -( oleh: TN. HJ. KU INSANIZDIHAR B. KU IDRIS)

DEDIKASI UTK DIA...
Kehadirannya dinanti.
Kalibernya ditagih.
Ucapannya membuatkan semua teruja.
Bila dia berjalan, ramai yang terpegun memerhatikan kelibatnya dan karismanya.

Dalam marahnya, ada puji.
Dalam tegurnya, tiada yang terguris hati.
Senyumnya menjadikan hati yang runsing, ceria kembali. Hati yang sedih, berbunga wangi.

Dia bijak berkata-kata,menjadikan kita tidak bosan mendengar celotehnya, walau sudah lama dia bercerita.
Kejayaan demi kejayaan, kami terima semasa dia berada. Kemenangan demi kemenangan dituai, sejak kedatangannya.

Dia umpama nakhoda berani,menongkah kapal kecil kami meredah ombak besar duniawi.
Dia menjadikan kami kenal, siapa diri kami...
Dia menjadikan kami tahu, apa itu harga diri.
Dia menjadikan kami berani untuk berdikari.
Dia membiarkan kami terus berkarya, mencungkil dan mengaplikasi bakat diri. Dia menjadikan kami sedar kami juga mempunyai nilai tersendiri.

Terima kasih kepada dia.
Inilah anugerah Allah untuk kami semua.
Terima kasih Cikgu Rushdan.
Kami doakan dirimu sentiasa bahagia.




Saturday 14 October 2017

PERSARAAN ENCIK ZAKARIA BIN SAID - NABIL

20.9.2017 - Tarikh tersebut merupakan hari perginya seorang permata yang sangat bernilai untuk SMK Jitra. Encik Zakaria bin Said akhirnya bersara dari SMK Jitra setelah 22 tahun menabur bakti di sini. Beliau mengajar subjek Kemahiran Hidup dan juga merupakan seorang guru disiplin sehingga bersara. Selama 22 tahun beliau tidak pernah jemu memerah keringat mencurahkan ilmu buat para pelajar SMK Jitra. Beliau memilih untuk tidak berpindah dari SMK Jitra sejak 22 tahun lalu kerana rasa sayangnya terhadap suasana di sini. Satu majlis perpisahan telah diadakan pada hari yang penuh dengan kesedihan tersebut. Semua guru dan pelajar hadir didewan Ibnu Sina yang penuh bersejarah untuk mendengar ucapan Cikgu Zakaria buat kali terakhir. Beliau merupakan salah seorang guru yang sangat dikenali di SMK Jitra. Encik Zakaria juga dikenali dengan panggilan 'Pak Ya' dalam kalangan murid dan guru.

Cikgu Zakaria bersama Pengetua SMK Jitra.


Encik Zakaria bin Said memilih opsyen Seni Perusahaan semasa melanjutkan pelajaran. Namun, beliau memilih untuk mengajar subjek Kemahiran Hidup kepada pelajar menengah bawah iaitu Tingkatan 1, 2 dan 3. Cikgu Zakaria merupakan seorang guru disiplin yang tegas demi mendidik pelajar menjadi insan yang berdisiplin dalam hidup. Cikgu Zakaria sangat mementingkan disiplin kerana beliau mengangap ia merupakan satu kunci untuk mendidik pelajar  supaya berjaya. Namun, Cikgu Zakaria menganggap para pelajar seperti anak beliau sendiri kerana beliau sangat mudah didekati oleh para pelajar. Beliau mudah untuk bermesra dengan pelajar lain tanpa memilih kasih. Sebagai tamsilannya, Cikgu Zakaria merupakan seorang guru yang sangat sukar untuk diganti akibat ilmu dan budi bahasanya. Akhir kata, kami warga SMK Jitra mendoakan kesihatan cikgu dan semoga sentiasa murah rezeki.


Cikgu Zakaria memberi ucapan semasa majlis persaraannya.






Tuesday 10 October 2017

ALLAH LEBIH MENYAYANGINYA.......CG. HAZRIYANI BT. HASHIM DALAM KENANGAN

10/10/2017 - Warga SMK Jitra telah kehilangan seorang guru yang sangat berdedikasi; Puan Hazriyani binti Hashim. Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.
Allahyarhamah yang mula berkhidmat di SMK Jitra pada 1 Januari 2009 merupakan guru mata pelajaran Sejarah bagi tingkatan 4 dan 5. Allahyarhamah turut merupakan guru yang menguruskan majalah sekolah sehingga tahun 2016.
Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama pasa solih dan solihin, serta diampunkan segala dosa-dosanya. Jenazah allahyarhamah akan dikebumikan selepas solat zohor esok 11/10/2017 di Tanjung Kapur, Jitra. Marilah kita sama-sama sedekahkan al-fatihah untuknya.

Monday 9 October 2017

SELAMAT MENDUDUKI PT3

8.10.2017 - Seramai 205 calon PT3 SMK Jitra telah mula menduduki peperiksaan tersebut pada awal pagi. Semua pelajar berkumpul di Stadium Mini Kluster dan menerima pesanan daripada para guru. Bacaan doa diketuai Tuan Haji Kuinsanizdihar b. Ku Idris menambahkan semangat pelajar untuk menghadapi peperiksaan.
        Bahasa Melayu merupakan subjek pertama yang diduduki diikuti mata pelajaran Matematik. Semua calon kelihatan tenang dan peperiksaan berjalan lancar.


Tuesday 3 October 2017

HARI KOKURIKULUM SMK JITRA 2017

9 SEPT 2017 - Hari Kokurikulum yang berlangsung di SMK JITRA telah mendapat sambutan daripada warga sekolah dan orang ramai. Hari tersebut telah disempurnakan oleh Dato' Aminuddin bin Omar. Pelbagai gerai jualan yang diuruskan oleh murid-murid SMK Jitra seperti gerai makanan dan minuman serta jualan kain baju terpakai. Setiap urus niaga melibatkan kupon yang dijual oleh pihak sekolah. Terdapat juga aktiviti menarik yang dianjurkan seperti cabutan bertuah, jualan buku dan derma darah. Selain itu, pertandingan bola sepak 7 sebelah, bola tampar dan bola keranjang telah diadakan di sekitar padang sekolah.
Aktiviti senamrobik yang diadakan pada awal pagi 



Gerai jualan yang terdapat pada hari tersebut

Warga SMK Jitra mengharapkan sambutan ini diadakan lagi pada tahun berikutnya. 

MAJLIS PELANCARAN IHYA' RAMADHAN 2024

[ 11 Mac 2024] Pada hari kedua persekolahan sesi 2024 , SMJ telah adakan Majlis Pelancaran Ihya' Ramadhan di dewan Ibnu Sina ,SMK Jitra....